Proton X90 Terus Gegar Pasaran Antarabangsa dengan Pelancaran Serentak di Tiga Negara

Proton X90 Terus Gegar Pasaran Antarabangsa dengan Pelancaran Serentak di Tiga Negara
Foto : Wapcar

 Subang Jaya – Jualan eksport yang kukuh adalah salah satu tunjang utama untuk pembuat kereta nasional PROTON dalam jangka masa panjang. Walaupun 2022 mencatatkan peningkatan mendadak sebanyak 79% dengan 5,406 unit terjual, tahun 2023 memberikan cabaran besar kepada PROTON kerana faktor luaran yang mempengaruhi ekonomi global, menyebabkan penurunan potensi jualan di beberapa pasaran eksport utama.

Walau bagaimanapun, PROTON tetap komited untuk mengembangkan jejaknya di luar Malaysia. Pelbagai negara terus dievaluasi untuk melihat potensi pasaran mereka. Pada bulan Ogos, PROTON berjaya melancarkan Proton X90 di tiga pasaran eksport.

Mauritius menjadi negara pertama menerima Proton X90, di mana ia dilancarkan pada 4 Ogos di acara Le Salon de L' Automobile di SVICC, Pailles. Kemudian, Afrika Selatan turut menyaksikan pelancaran Proton X90 pada Festival of Motoring di Litar Grand Prix Kyalami, dari 25 hingga 27 Ogos. Acara ini mendapat sokongan dari Kementerian Luar Negeri Malaysia dengan kehadiran Encik Yap Wei Sein, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan.

Pada hari yang sama, Brunei turut memperkenalkan Proton X90 dengan majlis pelancaran besar-besaran yang dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah, serta Pengerusi Pengimport Proton, Tan Kah Boon.

Prestasi Jualan Proton di Brunei Meningkat


Brunei telah mencatatkan prestasi jualan terbaiknya dalam sejarah, dengan jumlah pendaftaran mencecah 100 unit pada bulan Ogos. Ini adalah hasil daripada kekuatan barisan model Proton yang popular di kalangan pembeli, yang turut diperkukuh oleh pengimport di Brunei.

"Walaupun cabaran ekonomi di beberapa pasaran eksport utama, kami masih komited untuk mengembangkan peluang di negara-negara lain seperti Fiji, Ghana, Trinidad dan Tobago, serta Iraq. Pelancaran Proton X90 di tiga pasaran eksport dalam masa tiga bulan selepas pelancarannya di Malaysia adalah satu pelaburan masa depan untuk jenama PROTON,” kata Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa PROTON.

Proton melihat pelancaran ini sebagai langkah strategik untuk memanfaatkan peluang pasaran yang lebih baik pada masa akan datang.

Sumber - Proton