Kes Cerai Fazura Ditangguh, Fattah Amin Cadang Selesaikan Secara Baik, Peguam Nafi Isu Curang Punca Perpisahan

Kes Cerai Fazura Ditangguh, Fattah Amin Cadang Selesaikan Secara Baik, Peguam Nafi Isu Curang Punca Perpisahan
Foto : dailyexpress

PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari hari ini telah menangguhkan kes cerai pasangan selebriti popular, Nur Fazura dan Fattah Amin, ke tarikh baharu iaitu 7 Oktober.

Menurut peguam syarie Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan, penangguhan tersebut dibuat selepas pihak Fattah mencadangkan penyelesaian secara baik antara kedua-dua pihak.

"Pagi ini sepatutnya berlangsung sebutan permohonan cerai Fazura di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 dengan izin mahkamah, dan saman telah pun diserahkan kepada Fattah serta diterima," kata Fakhrul seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

"Namun, pagi tadi kami menerima cadangan penyelesaian daripada pihak Fattah, dan mahkamah menangguhkan kes ini ke 7 Oktober bagi membolehkan kedua-dua pihak berbincang sebelum tarikh prosiding," tambah beliau lagi.

Walaupun beliau tidak dapat mendedahkan butiran cadangan tersebut, Fakhrul menyatakan bahawa ia bukan melalui pendamaian formal oleh pihak ketiga.

Dalam laporan berasingan, Fakhrul turut menafikan spekulasi bahawa punca Fazura memfailkan cerai adalah kerana isu kecurangan Fattah.

"Selepas permohonan cerai difailkan, baik Fazura mahupun Fattah tidak pernah membuat sebarang kenyataan. Malah, dalam permohonan cerai itu, tidak ada disebut langsung tentang isu curang. Sebaliknya, alasan yang diberikan ialah kerana tiada lagi persefahaman antara mereka," jelas Fakhrul.

Untuk rekod, pada awal bulan ini, Nur Fazura Sharifuddin, 40, telah memfailkan perceraian terhadap Abdul Fattah Mohd Amin, 33, di mahkamah yang sama.

Pasangan selebriti ini mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia empat tahun, Nur Fatima Aisya.

Kes ini telah menarik perhatian ramai peminat, yang terus mengikuti perkembangan perkahwinan mereka sejak awal lagi. Adakah pasangan ini akan dapat menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik, atau adakah kes ini bakal melibatkan lebih banyak drama? Kita tunggu perkembangan selanjutnya pada 7 Oktober nanti!