Premis GISBH di UK Masih Beroperasi Seperti Biasa, Jalankan Perniagaan Sah

Premis GISBH di UK Masih Beroperasi Seperti Biasa, Jalankan Perniagaan Sah
Foto : Ikhwan Minimart

LONDON, 23 Sept — Restoran-restoran milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dilaporkan masih beroperasi seperti biasa di United Kingdom, meskipun berdepan kontroversi di tanah air.

Menurut laporan akhbar harian berbahasa Inggeris, The Star, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakri Jaafar, mengesahkan perkara tersebut namun menyatakan bahawa beliau tidak pasti berapa banyak cawangan yang beroperasi di sana.

“Ya, [kami sedar] tetapi kami tidak memantau mereka,” katanya.

“Mereka kelihatan menjalankan perniagaan sah di sini,” tambahnya.

Zakri juga dilaporkan pernah melawat salah satu premis GISBH di Manchester sebelum ini, dan menyatakan bahawa saiz cawangan-cawangan di ibu negara Britain adalah “tipikal seperti mana-mana restoran lain di London.”

GISBH memasarkan dirinya sebagai perniagaan yang dijalankan oleh Bumiputera-Muslim, dengan aset bernilai RM325 juta di seluruh dunia dan memiliki 415 premis perniagaan di 20 negara di Asia, Eropah, Afrika dan Australasia.

Sekurang-kurangnya dua daripada perniagaannya, iaitu sebuah restoran di Mekah dan Singapura, telah menjauhkan diri daripada kontroversi tersebut.

Sumber : MalayMail