PBB Beri Amaran Tentang 'Bencana Yang Bakal Berlaku' Di Timur Tengah

PBB Beri Amaran Tentang 'Bencana Yang Bakal Berlaku' Di Timur Tengah
Gambar Hiasan : AFP

BEIRUT : Koordinator khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Lubnan, Jeanine Hennis-Plasschaert, memberi amaran bahawa Timur Tengah sedang menghadapi situasi yang amat kritikal, dengan menyatakan bahawa rantau tersebut berada "di ambang bencana yang bakal berlaku", lapor agensi berita Jerman, Deutsche Presse-Agentur.

“Perkara ini tidak boleh dipandang remeh: tiada penyelesaian ketenteraan yang dapat menjamin keselamatan mana-mana pihak,” katanya.

Kenyataan Hennis-Plasschaert merujuk kepada pertempuran yang sedang berlaku antara tentera Israel dan Hezbollah di Lubnan, yang terus berlarutan sepanjang malam.

Kedua-dua pihak telah terlibat dalam pengeboman yang paling sengit sejak konfrontasi mereka bermula semula hampir setahun yang lalu.

Misi pemerhati PBB, UNIFIL (Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan), telah memantau sempadan Israel-Lubnan sejak 1978.

Bulan lalu, tiga anggota UNIFIL mengalami kecederaan ringan akibat letupan berhampiran kenderaan mereka di selatan Lubnan.

Misi ini melibatkan sekitar 10,000 tentera dan 800 kakitangan awam. Sejak penubuhannya hampir 50 tahun yang lalu, lebih 300 anggota pengaman PBB telah terkorban.

Sumber - Bernama