Konsert The Real Cromok Satukan Hillary Ang & Man Keedal untuk Persembahan Ikonik

Konsert The Real Cromok Satukan Hillary Ang & Man Keedal untuk Persembahan Ikonik
Foto : URTV

SHAH ALAM – Band rock terkemuka, Cromok, bakal mencipta detik bersejarah sempena ulang tahun ke-36 mereka dengan konsert istimewa yang diberi nama The Real Cromok. Konsert ini akan menampilkan dua pemuzik gitar tersohor, Hillary Ang dan Man Keedal, serta dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Disember 2024.

Dianjurkan oleh Pointlink Ventures, konsert ini menandakan pertama kali Cromok tampil bersama-sama dengan Hillary dan Man Keedal, menjanjikan malam penuh nostalgia untuk para peminat.

Karl, anggota asal Cromok, menggambarkan acara ini sebagai malam yang sangat dinanti-nantikan. Beliau menyatakan bahawa konsert ini bukan sahaja bermakna bagi Cromok tetapi juga bagi para peminat yang mengikuti perjalanan band ini sejak debut album mereka Image of Purity yang dirilis pada 1991, yang memuatkan lagu ikonik seperti Journey dan Metallurgical.

"Kembalinya Hillary selepas 24 tahun adalah seperti sirih pulang ke gagang, pastinya mengubati kerinduan peminat. Tambahan pula, ini kali pertama gandingan ikonik Karl dan Hillary tampil di pentas," kata Karl, yang nama sebenarnya Khairul Anuar Shariff.

Beliau juga mengungkapkan keterujaan terhadap kolaborasi pertama kali antara Karl dan Man Keedal, yang terkenal dengan sumbangan solo gitarnya dalam lagu Misery dari album Forever in Time (1993). Meskipun terlibat dalam rakaman album tersebut, Man Keedal tidak pernah tampil secara langsung bersama Cromok sebelum ini. Oleh itu, gandingan ini akan menjadi momen bersejarah yang tidak boleh dilepaskan.

Band yang telah lama dikenali sebagai perintis muzik fusion thrashditional – gabungan antara muzik tradisional dan heavy metal – kini diteruskan oleh Karl dan pemain bass Sam (Shamsudin Ali). Sam merupakan salah seorang pengasas Cromok, bersama Allahyarham Tarmizi Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Miji, yang merupakan pemain dram mereka yang meninggal dunia pada Mac lalu. Seorang lagi pengasas, Allahyarham Muhammad Khairuddin (Din), meninggal dunia pada 1997.

Konsert ini juga akan menampilkan Apis Cropox sebagai pemain dram, Shah Sidious pada gitar, serta Archer di posisi keyboard. Persembahan ini turut disokong oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd.

Karl menambah bahawa konsert ini akan membawa banyak kejutan, termasuk kehadiran empat pemain gitar di atas satu pentas – sesuatu yang jarang dilihat dalam mana-mana konsert. "Ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi ia adalah satu perayaan perjalanan Cromok selama 36 tahun. Apa-apa boleh berlaku, tetapi percayalah The Real Cromok akan mencipta sejarah tersendiri," kata Karl.

Tiket Early Bird berharga RM168 (berdiri) akan mula dijual pada 27 September jam 8 malam, dan penjualan akan dibuka sehingga 10 Oktober. Harga tiket biasa bermula dari RM188 (berdiri), manakala untuk tempat duduk, tiket berharga RM288 dan RM338. Untuk pengalaman eksklusif, Royal Box ditawarkan pada harga RM888 seorang, termasuk sesi Meet & Greet serta cenderahati istimewa seperti t-shirt eksklusif The Real Cromok.

Pembelian tiket boleh dilakukan melalui laman web rasmi www.therealcromok.com atau hubungi +601113297822 (WhatsApp). Serentak dengan jualan tiket, produk eksklusif The Real Cromok seperti t-shirt dan hoodie juga tersedia untuk dibeli melalui aplikasi MyArteez, yang boleh dimuat turun di Apple Store dan Play Store.

Karl juga memberi petunjuk bahawa peminat boleh menjangkakan beberapa lagu baru yang akan dipersembahkan buat pertama kali, selain 18 lagu klasik yang akan menghiasi malam tersebut. Sebagai penghormatan kepada Allahyarham Miji dan Din, satu segmen khas tribute turut dirancang.

"Kami akan membawa penonton menyelusuri perjalanan Cromok dari sirkit underground di Australia hingga ke pentas hari ini. Konsert ini bukan sahaja untuk peminat, tetapi ia juga satu penghormatan kepada perjalanan Cromok selama ini," tambah Karl, yang kembali menyertai Cromok pada 2012.

Tiga gitar tajaan Cort Guitars daripada The Guitar Store yang ditandatangani oleh keempat-empat pemain gitar lagenda akan turut diberikan kepada pemenang bertuah melalui cabutan khas. Hadiah lain termasuk dua pakej penginapan dua hari satu malam di Hotel Hard Rock, Penang, serta satu pakej di Hotel Hard Rock, Desaru. Selain itu, 15 pemegang tiket bertuah berpeluang menyertai sesi Meet & Greet di Studio Cromok pada tarikh yang akan diumumkan kemudian. - URTV