JPJ Bekerjasama Dengan TNG Bagi Memudahkan Permohonan Tag RFID Bagi VEP

JPJ Bekerjasama Dengan TNG Bagi Memudahkan Permohonan Tag RFID Bagi VEP
Foto : DriveinSG

PUTRAJAYA -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah bekerjasama dengan Touch 'n Go (TNG) untuk mengemas kini butiran Kad Pengenalan Malaysia (KP) pemilik kenderaan berdaftar Singapura, sekaligus memudahkan permohonan tag Radio Frequency Identification (RFID) bagi Permit Masuk Kenderaan Asing (VEP).

Proses ini boleh dilakukan melalui aplikasi TNG eWallet dengan memilih menu "VEP JPJ". Pemilik kenderaan berdaftar Singapura yang menggunakan aplikasi TNG eWallet Singapore perlu mengemas kini aplikasi mereka ke versi terkini, iaitu iOS versi 1.8.37, Android versi 1.8.35.1, atau Huawei versi 1.8.35.1.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, TNG juga sedang memudahkan proses kemas kini maklumat TNG eWallet bagi pemilik kenderaan berdaftar Singapura. "Fasilitator akan disediakan di dua lokasi tambahan untuk pendaftaran tag di Johor, bermula 23 September," katanya dalam satu kenyataan.

Aedy Fadly berharap inisiatif ini akan memudahkan proses pendaftaran VEP bagi pemilik kenderaan berdaftar Singapura dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan, memastikan keselesaan dan kesejahteraan pengguna jalan raya di Malaysia.

Pada May lalu, Menteri Pengangukan Anthony Loke mengumumkan kesemua kenderaan berdaftar asing yang memasuki Malaysia melalui darat dari Singapura wajib menggunakan Permit Masuk Kenderaan Asing (VEP) bermula 1 Oktober 2023. 

VEP dikuatkuasakan di bawah subseksyen 66H Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang menjadikan ia haram untuk memandu kenderaan berdaftar asing tanpa permit sebelum memasuki atau semasa berada di Malaysia.